Monday, August 17, 2009

KEMPEN AMALKAN 7 LANGKAH MENCUCI TANGAN TAHUN 2009 PERINGKAT NEGERI MELAKA

JULAI 09-Norpipah Abdol hadir mewakili Y.A.BHG. Datin Seri Datuk wira Hjh Asmah binti Abdul Rahman merasmikan Kempen Amalkan 7 Langkah Mencuci Tangan 2009 Peringkat Negeri Melaka. Y.A.BHG Datin Seri berharap, kempen ini adalah sebagai salah satu langkah bagi menerapkan amalan mencuci tangan dengan cara yang betul di kalangan masyarakat kita. Adalah diharapkan melalui kempen ini amalan tersebut bukan menjadi ikon untuk iklan-iklan di television tetapi dapat menjadi amalan seharian dan menjadi budaya masyarakat di negara ini.

Amalan 7 langkah cuci tangan yang sering diwar-warkan oleh iklan-iklan di TV dan juga poster-poster adalah teknik membasuh tangan yang betul. Ia amat mudah untuk diamalkan. Walau bagaimanapun ia masih belum menjadi amalan dan budaya hidup masyarakat kita.Teknik 7 langkah cuci tangan telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu WHO dan ia telah terbukti secara saintifik sebagai teknik yang betul untuk menyingkirkan kotoran daripada tangan. Amalan ini telah diiktiraf sebagai teknik yang paling berkesan dari aspek pencegahan penyakit berjangkit.

Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Pelajaran ingin menerapkan amalan yang baik ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian terutama di kalangan murid-murid sekolah. Kita sedia maklum kanak-kanak kecil amat mudah untuk dibentuk sahsiah dan ilmiahnya. Dengan didikan awal ini adalah diharapkan ia akan berterusan menjadi amalan hidup mereka. Kanak-kanak pada masa kini juga lebih bijak, lebih keletah dan lebih terbuka untuk menunjukkan perkara-perkara baru yang mereka pelajari kepada ahli keluarganya.

Justeru, kanak-kanak ini boleh dikategorikan sebagai agen perubahan yang mampu menganjakkan paradigma dengan memberi maklumat serta menarik kepada ahli keluarga, rakan sekelas, sahabat handai mengenai kepentingan mencuci tangan yang betul. Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua murid-murid sekolah mengenai kepentingan mencuci tangan bagi mengelakkan dan mencegah jangkitan penyakit berjangkit seperti keracunan makanan, penyakit influenza A H1N1, penyakit kaki tangan dan mulut dan penyakit-penyakit lain yang boleh berjangkit melalui tangan yang dicemari oleh kuman.
Pada masa ini, dunia digemparkan dengan wabak influenza A H1N1. Setiap individu di seluruh dunia diminta untuk sentiasa berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan diri bagi mengelakkan daripada dijangkiti oleh wabak tersebut. Salah satu amalan yang dianjurkan adalah dengan mencuci tangan sebaik-baiknya bagi menghindari penyebaran wabak penyakit tersebut.

Begitu juga dengan kejadian keracunan makanan. Statistik telah menunjukkan kes-kes keracunan makanan di sekolah semakin meningkat dari tahun ke tahun. Salah satu penyebab kejadian keracunan makanan adalah apabila murid-murid di sekolah tidak membasuh tangan langsung atau membasuh tangan dengan cara yang tidak betul sebelum makan.